English | Bahasa Malaysia
 

Penyelesaian Peribadi


  
 

Proses dan Prosedur

1. Permohonan
Pemohon perlu mengisi Borang Permohonan Mentadbir Harta Pusaka dengan lengkap dan menyertakan dokumen-dokumen penting seperti Sijil kematian / Bukti Kematian, Sijil Faraid (bagi beragama Islam), salinan Daftar Perkahwinan/Perceraian, salinan Kad Pengenalan dan salinan Sijil Kelahiran waris, dokumen bukti pemilikan simati atas sesuatu harta contohnya buku simpanan bank, geran kereta dan lain-lain. Keperluan dokumen adalah berbeza antara satu kes dengan kes yang lain.

2. Penyiasatan & Pengesahan
Penyiasatan aset, hutang dan kedudukan waris simati akan dijalankan dengan membuat pertanyaan kepada pihak yang berkenaan.

3. Pengeluaran Suratkuasa Mentadbir
Suratkuasa dalam bentuk AKUAN atau ARAHAN oleh Amanah Raya Berhad akan dikeluarkan bergantung kepada jenis, nilai kasar dan keadaan sesuatu harta pusaka tersebut.

4. Penghasilan
Dengan pengeluaran AKUAN, harta pusaka akan dikumpulkan oleh AmanahRaya yang kemudiannya membayar kepada waris-waris; selepas segala hutang dijelaskan dan wasiat dilaksanakan. Bagi ARAHAN, ia akan membolehkan waris menuntut terus bayaran / pindahmilik daripada pemegang aset yang berkenaan.

5. Pembahagian
Pembahagian Harta Pusaka ditentukan selepas ditunaikan perbelanjaan pengebumian, hutang, harta amanah, harta sepencarian dan wasiat simati. Setelah harta pusaka ditentukan, AmanahRaya akan membahagikan harta pusaka tersebut kepada waris-waris yang layak menerimanya atau mengikut pakatan keluarga.

6. Beragama Islam
Sijil Faraid akan memperuntukan bahagian yang akan diterima oleh waris dan pembahagian dibuat mengikut Hukum Faraid, tetapi sekiranya ahli waris membuat suatu persetujuan dan mengemukakan Surat Persetujuan Penolakan atau Surat Pakatan Keluarga di dalam pembahagian harta pusaka, pembahagian akan dibuat mengikut Surat Persetujuan atau Surat Pakatan berkenaan.

7. Bukan Islam
Bagi simati yang meninggalkan wasiat, pembahagian pusaka akan dibuat mengikut wasiat. Tanpa dokumen Wasiat, harta pusaka akan dibahagikan mengikut Akta Pembahagian 1958 atau Surat Persetujuan Penolakan atau Surat Pakatan Keluarga. Akta tersebut memperuntukan bahagian yang akan diterima oleh waris.

8. Penyediaan Akaun
AmanahRaya sebagai Pentadbir bertanggungjawab menyediakan akaun harta pusaka bagi menunjukkan kedudukan sebenar harta pusaka. Akaun yang disediakan menyenaraikan aset yang dihasilkan, liabiliti yang dibayar dan baki yang ada serta perincian nama waris, bahagian dan jumlah yang diterima akan dibentangkan dalam Penyata Akaun Harta Pusaka berkenaan.

9. Pengagihan Harta dan Penutupan Kes
Harta Pusaka akan diagihkan kepada waris atau benefisiari yang berhak. Setelah itu, kes pusaka akan didaftarkan sebagai pusaka yang telah selesai dan ditutup. Bagi waris yang berumur 18 tahun ke bawah atau orang yang kurang upaya atau cacat akal, bahagiannya akan dimasukkan ke Akaun Amanah di AmanahRaya dan boleh dituntut mengikut keperluan. Setelah berusia 18 tahun atau usia yang dipersetujui di dalam Suratikatan Amanah, Akaun Amanah tersebut akan diserahkan kepadanya.

 
 

© 2013 AmanahRaya. Hak cipta Terpelihara. | Peta Laman | Terma & Syarat | Dasar Polisi | Intranet AmanahRaya | Webmail