English | Bahasa Malaysia
 

Newsroom


  
 

Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Yayasan WAQAF Malaysia (YWM) & AmanahRaya Berhad (ARB)
17 May 2010

Kuala Lumpur 17 Mei - Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan Amanah Raya Berhad  menerusi anak syarikat, AmanahRaya Legacy Services Sdn Bhd (ARLS) hari ini memeterai memorandum persefahaman bagi membolehkan kedua-dua pihak menyediakan jalan penyelesaian alternatif kepada umat Islam yang ingin membuat perancangan sumbangan amal jariah melalui produk wakaf selepas kematian.

YWM merupakan sebuah entiti wakaf kebangsaan yang ditubuhkan pada 23 Julai 2008 di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 [Akta 258]. YWM berperanan mengumpul dana wakaf, membangun dan memajukan harta wakaf serta merangka program-program kebajikan dan sosial untuk faedah umat Islam seterusnya mempromosi dan mengembangkan institusi wakaf khususnya di Malaysia.

ARLS telah ditubuhkan pada 2007 dan menjadi tulang belakang kepada AmanahRaya dalam urusan pewasiatan termasuk Pendaftaran, Penyediaan dan Penyimpanan Wasiat serta Pentadbiran Harta Pusaka Berwasiat. Sehingga 30 April 2010 ARLS telah mendaftarkan 332,091 wasiat di mana 297,890 daripadanya adalah wasiat Islam.

Menurut Pengerusi ARB, Yang Berbahagia Dato’ Haji Dusuki Ahmad, wakaf merupakan salah satu instrumen kepada pengurusan pewarisan Islam yang telah diamalkan sejak dahulu lagi. Bagaimanapun dahulu ia dibuat secara lisan dan dilaksanakan dengan penuh amanah dan rasa tanggungjawab. Keadaan sekarang sudah berbeza. Wakaf perlu dibuat secara bertulis dan menggunakan dokumentasi sah serta diuruskan oleh golongan profesional mengikut keinginan pewasiat selaras dengan kehendak syarak.

“Kerjasama ini membolehkan AmanahRaya Legacy memberi perkhidmatan setempat yang lengkap dan akan terus mempromosi Yayasan Waqaf Malaysia sebagai benefisiari kepada pewasiat yang ingin membuat pemberian amal jariah. Pada masa ini terdapat permintaan pelanggan kami yang ingin berwakaf dan ada yang telah menamakan Yayasan Waqaf Malaysia sebagai penerima harta alih dan tak alih di dalam wasiat mereka.  Dengan kerjasama strategik ini, dijangkakan lebih ramai anggota masyarakat akan tertarik untuk  membuat amal jariah melalui wasiat AmanahRaya Legacy kerana ianya akan diuruskan oleh institusi profesional dan boleh dipercayai” katanya ketika berucap pada majlis tersebut. 

Menteri di Jabatan Perdana Y.B. Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Hj. Baharom (B) turut  mengakui bahawa kerjasama ini dilaksanakan tepat pada masanya bagi menyebarluas peranan serta kepentingan instrumen muamalat dan keberkesanan institusi wakaf sebagai satu instrumen yang berpotensi untuk dibangunkan seiring dengan arus pembangunan perdana.

“Berteraskan mekanisme berwakaf melalui wasiat, ia mampu menyuntik kesedaran masyarakat supaya berwasiat dan pada masa yang sama melakukan amal jariah melalui ibadah wakaf”, katanya.

Melalui kerjasama strategik ini, YWM dan AmanahRaya akan:
1)mempromosi dan mencadangkan YWM sebagai benefisiari kepada pewasiat yang ingin membuat pemberian amal jariah;

2)YWM akan mempromosi dan menggalakkan  masyarakat Islam yang ingin membuat sumbangan amal jariah kepada YWM melalui wasiat AmanahRaya; dan

3)menyediakan jalan penyelesaian kepada umat Islam yang ingin membuat pemberian sumbangan amal jariah melalui wakaf selepas kematian.
Dengan persefahaman ini diharap lebih ramai anggota masyarakat terutama umat Islam akan tertarik membuat amal jariah melalui wasiat AmanahRaya kerana ianya akan diuruskan oleh institusi yang profesional dan boleh dipercayai.


Yayasan Waqaf Malaysia (“YWM”) merupakan sebuah Entiti Wakaf Kebangsaan yang ditubuhkan pada  23 Julai 2008 di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 [Akta 258].

YWM telah melancarkan skim Wakaf Tunai Malaysia sebagai salah satu kaedah mengumpul dana wakaf. Melalui Wakaf Tunai Malaysia, orang ramai boleh berwakaf menggunakan wang tunai yang kemudiannya akan ditukar kepada harta kekal. Penyertaan Wakaf Tunai Malaysia boleh dibuat secara one-off atau pun secara potongan gaji bulanan. YWM telah memperolehi kod potongan gaji bernombor 4474 bagi kakitangan awam Persekutuan. Wakaf tunai juga boleh dibuat melalui arahan tetap bank, online banking, ATM, Wang Pos dan juga di kaunter YWM.

Selain daripada itu, YWM juga sedang melaksanakan Projek Kecil Berimpak Besar melalui peruntukan Bajet 2010 yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan. Sebanyak 74 projek Wakaf Mart dan Bazar Rakyat sedang dibangunkan di kawasan masjid dan tanah wakaf terpilih di seluruh negara yang dijangka akan dapat disiapkan sepenuhnya pada penghujung tahun 2010. Objektif projek ini adalah bagi meningkatkan taraf sosio-ekonomi ummah dengan menyediakan premis perniagaan kepada usahawan-usahawan yang berdaya maju.

AmanahRaya Legacy Services Sdn Bhd (“ARLS”) adalah sebuah anak syarikat milik penuh Amanah Raya Berhad (dahulunya dikenali sebagai Jabatan Pemegang Amanah Raya dan Pegawai Pentadbir Pusaka), sebuah syarikat peramanahan yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia yang ditubuhkan sejak tahun 1921.

AmanahRaya telah memberikan perkhidmatan pentadbiran pusaka, amanah dan wasiat selama lebih dari 88 tahun. Dengan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan pewasiatan, AmanahRaya telah menubuhkan Jabatan Pengurusan Probet pada tahun 2006, sebuah jabatan khusus yang menyediakan perkhidmatan wasiat dan pentadbiran harta pusaka berwasiat.

Hasil dari aktiviti pemasaran yang intensif jumlah wasiat yang didaftarkan di AmanahRaya telah meningkat sebanyak 1,200% pada penghujung 2006 berbanding tahun sebelumnya. Peningkatan dan pencapaian cemerlang ini menjuruskan kepada keperluan untuk memantapkan operasi perkhidmatan wasiat. Pada awal tahun 2007, Jabatan Pengurusan Probet telah ditransformasikan menjadi sebuah syarikat yang dikenali sebagai AmanahRaya Legacy Services Sdn Bhd (“ARLS”).

ARLS telah ditubuhkan pada 24 Januari 2007 dan beroperasi secara rasminya pada 15 Februari 2007 sebagai sebuah entiti perniagaan yang menjadi tulang belakang kepada AmanahRaya Berhad dalam urusan perwasiatan termasuk Pendaftaran, Penyediaan dan Penyimpanan Wasiat serta Pentadbiran Harta Pusaka Berwasiat.


Untuk maklumat lanjut sila hubungi laman web www.ywm.org.my atau www.amanahraya.com.my 

Untuk temubual dan pertanyaan media, sila hubungi :

Nur Syaffina Ab Rahim,
Ketua, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia & Korporat,
Yayasan Waqaf Malaysia,
di talian 03-8890 4072,
email - syaffina@ywm.org.my

atau

Eksekutif, Hanim Idzura Mohd Kalyubi
03-8890 1000,
email - hanim@ywm.org.my

Azliah Suhod,
Ketua, Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan,
Amanah RayaBerhad,
di talian  03-2055 7373, 
email -  norsyillawaty@arb.com.my

atau

Penolong Pengurus,
Sry Angreni Mohd Zet  03-2055 7625 / 019-2211104,
email - sryangreni@arb.com.my.

 

© 2013 AmanahRaya. All rights reserved. | Sitemap | Terms & Conditions | Privacy Policy | AmanahRaya Intranet | Webmail