Press Release


AmanahRaya Berhad (AmanahRaya) Serah Sumbangan Tajaan RM100,000 kepada Universiti Malaya bagi penganjuran Persidangan Antarabangsa “Democratisation and Good Governance in the Malaysia Public Sector”

Petaling Jaya, 1 Ogos 2007 – Amanah Raya Berhad (AmanahRaya), hari ini telah menyerahkan cek sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Universiti Malaya bagi penganjuran Persidangan Antarabangsa “Democratisation and Good Governance in the Malaysia Public Sector” yang bakal berlangsung pada 13 hingga 14 Ogos 2007 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. 
Sumbangan telah disampaikan oleh YBhg Dato’ Haji Dusuki Ahmad, Pengerusi AmanahRaya kepada YBhg Datuk Rafiah Salim, Naib Canselor Universiti Malaya, pada satu majlis penyerahan cek sumbangan tajaan di Hotel Eastin, Petaling Jaya.
YBhg Dato’ Haji Dusuki Ahmad Pengerusi AmanahRaya berkata, penglibatan pihaknya melalui sumbangan berbentuk tajaan kewangan adalah sebagai tanda sokongan dan komitmen atas usaha murni INPUMA, Universiti Malaya untuk memperkasakan jentera pentadbiran negara.
“Saya melihat persidangan seumpama ini amat selaras dengan salah satu objektif yang ingin dicapai dalam Rancangan Malaysia Ke 9, ke arah melahirkan kerajaan adil dan amanah serta pembangunan ekonomi yang seimbang dan komprehensif,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan itu.

Beliau berkata, persidangan antarabangsa “Democratisation and Good Governance in the Malaysian Public Sector” yang dianjurkan oleh Universiti Malaya melalui Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (INPUMA) ini amat bermanfaat untuk menghasilkan garis panduan dan memperkukuhkan landasan sedia ada dalam mengunapakai tadbir urus negara yang terbaik (good governance) yang boleh dijadikan rujukan oleh sektor awam dan swasta. Ia juga penting bagi mewujudkan usaha bersepadu dalam memantapkan dan membudayakan tadbir urus terbaik dan cemerlang yang dapat menutup ruang dan peluang dari berlakunya amalan-amalan tidak murni dan tidak beretika dalam jentera pengurusan dan pentadbiran sesebuah organisasi.

Justeru itu, sebagai sebuah syarikat milik penuh kerajaan, AmanahRaya berbangga dapat turut terlibat dalam menjayakan penganjuran persidangan ini.

Mengenai Amanah Raya Berhad
Amanah Raya Berhad (AmanahRaya), syarikat milik penuh kerajaan yang dahulunya dikenali sebagai Jabatan Pemegang Amanah dan Pegawai Pentadbir Pusaka Malaysia telah ditubuhkan pada 1921 dan diperbadankan pada 1995. AmanahRaya menyediakan perkhidmatan Pengurusan Perwarisan; Penyediaan, Penyimpanan dan Pelaksanaan Wasiat; Pentadbiran Harta Amanah; dan Perkhidmatan Peramanahan.  Ia juga adalah Pemegang Amanah kepada 79 dana amanah saham yang bernilai melebihi RM72 bilion serta Pemegang Amanah bagi bon dan pelbagai instrumen kewangan dan pengurusan pelaburan.  AmanahRaya menawarkan produk dan perkhidmatan yang mesra pelanggan dan mudah dihubungi melalui 20 cawangan yang terdapat di seluruh Malaysia.

 

Copyright (C) 2006 Amanah Raya Berhad