Press Release


Majlis Kecemerlangan Ejen Korporat 2007, AmanahRaya

Kuala Lumpur, 29 Januari 2008 – Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) hari ini telah menganjurkan Majlis Kecemerlangan Ejen 2007 bagi menghargai dan mengiktiraf rakan strategik dan ejen korporat yang cemerlang. Majlis ini dianjurkan buat pertama kalinya bagi rakan strategik dan kali ke-2 untuk ejen korporat terbaik AmanahRaya. 

Pada majlis ini, AmanahRaya menyampaikan Anugerah Jualan Wasiat tertinggi kepada 3 ejen korporat terbaik, 3 bank (rakan strategik) terbaik serta 3 cawangan bank yang meraih jualan tertinggi bagi setiap bank. Sehingga kini, AmanahRaya mempunyai tujuh (7) rakan strategik yang terdiri daripada Institusi Kewangan dan bank serta tiga puluh (30) ejen korporat yang beroperasi di seluruh Malaysia yang menawarkan produk wasiat AmanahRaya kepada para pelanggan.

Bank Pertanian Malaysia menerima Anugerah Rakan Strategik terbaik berdasarkan bilangan jualan wasiat Islam dan bukan Islam tertinggi yang dicatatkan bagi tahun 2007. Sementara Anugerah Ejen Korporat terbaik dimenangi oleh Amalan Harmoni Sdn Bhd. Majlis ini juga turut memberi penghargaan kepada cawangan-cawangan Bank Pertanian, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Bank Kerjasama Rakyat, Malaysia Building Society Berhad, Hong Leong Islamic Bank dan Affin Islamic Bank yang berjaya membuat jualan wasiat tertinggi.

YBhg Dato’ Haji Dusuki Ahmad, Pengerusi AmanahRaya dalam ucapannya berkata, AmanahRaya menganjurkan Majlis Kecemerlangan Ejen bukan sahaja untuk  menghargai dan mengiktiraf pencapaian ejen korporat tetapi juga sebagai satu galakkan dan motivasi untuk mereka mencapai kejayaan yang lebih memberangsangkan pada masa akan datang.

Menurutnya lagi, pakatan strategik yang dijalin melalui ejen korporat dan rakan strategik amat bermakna dalam memastikan produk dan perkhidmatan AmanahRaya terutama Wasiat dapat dimanfaatkan oleh seluruh rakyat Malaysia dengan mudah, cepat dan berkesan.

Majlis Kecemerlangan Ejen 2007 AmanahRaya telah berlangsung di Wisma AmanahRaya dengan dihadiri oleh wakil-wakil rakan strategik dan ejen korporat. Turut hadir di majlis yang sama adalah YBhg Dato’ Ahmad Rodzi Pawanteh, Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya serta En Ahmad Saruji Abdul Aziz, Pengurus Kanan, Jabatan Pengurusan Channel.
 
Inisiatif AmanahRaya mewujudkan rakan strategik melalui pendekatan ‘cross selling’ membantu melonjak bilangan Wasiat berdaftar daripada 3500 dalam tahun 2005 kepada 28,000 sehingga penghujung tahun 2007. Dengan prestasi yang membanggakan itu, pada tahun 2008 AmanahRaya mensasarkan untuk mencapai bilangan Wasiat Islam dan bukan Islam yang didaftarkan sebanyak 45,000.      

 

Copyright (C) 2006 Amanah Raya Berhad