Press Release


Majlis Pelancaran Kod Etika Perniagaan AmanahRaya oleh Y.B Dato’ Dr. Awang Adek bin Hussin, Timbalan Menteri Kewangan II, Kementerian Kewangan

Kuala Lumpur, Selasa, 5 Jun 2007 - AmanahRaya sebuah syarikat pengamanahan terulung milik penuh kerajaan hari ini, telah melancarkan Buku Kod Etika Perniagaan AmanahRaya. Majlis pelancaran telah dirasmikan oleh Y.B Dato’ Dr. Awang Adek Bin Hussin, Timbalan Menteri Kewangan II bertempat di Wisma AmanahRaya, Jalan Ampang.

Dalam ucapan perasmiannya Y.B Dato’ Dr. Awang Adek Bin Hussin berkata, “Penghasilan Buku Kod Etika Perniagaan AmanahRaya adalah tepat dan sesuai dengan kedaan semasa, ketika kerajaan sedang rancak berusaha untuk memperkukuh dan memperkasakan integriti dalam semua jentera pembangunan dan pengurusan negara”.

Beliau juga berharap ianya akan menjadi contoh kepada syarikat milik kerajaan (GLC) yang lain dan pihak swasta agar dapat dijadikan panduan dalam meningkatkan kecemerlangan dalam memberi perkhidmatan kepada pelanggan-pelanggan.

Hadir mewakili AmanahRaya di majlis perasmian tersebut ialah Y. Bhg Dato’ Haji Dusuki Ahmad, Pengerusi AmanahRaya, Y. Bhg Dato’ Ahmad Rodzi Pawanteh, Pengarah Urusan AmanahRaya dan pihak Pengurusan Kanan AmanahRaya.

Y. Bhg Dato’ Haji Dusuki Ahmad Pengerusi AmanahRaya berkata pelancaran buku ini adalah salah satu usaha bagi maksud mengujudkan budaya kerja yang beretika, profesional dan berintegriti tinggi di AmanahRaya. Beliau juga melahirkan rasa bangganya kerana AmanahRaya telah muncul sebagai syarikat milik kerajaan yang pertama mempunyai Kod Etika Perniagaannya sendiri.

“AmanahRaya sentiasa mengambil langkah ke hadapan dalam memastikan setiap warga kerjanya terutama kumpulan kerja barisan hadapan (front liners) dapat memberi perkhidmatan yang telus, mengamalkan etika kerja yang tinggi dan tiada teloransi terhadap amalan-amalan yang tidak baik, bercanggah dengan nilai-nilai akhlak dan tuntutan agama,” katanya ketika berucap di majlis tersebut.

Penghasilan Buku Kod Etika Perniagaan AmanahRaya yang dilancarkan hari ini merupakan antara aktiviti pemantapan integriti syarikat yang telah diusahakan oleh AmanahRaya sejak penubuhan Pelan Integriti AmanahRaya pada 23 April 2006 yang selaras dengan penubuhan Pelan Integriti Nasional (PIN) oleh kerajaan. Terdahulu AmanahRaya telahpun menjalankan aktiviti-aktiviti memperkasakan integriti seperti seminar kesedaran integriti kepada seluruh kakitangan dan pelanggan-pelanggan, mengujudkan pekeliling mengenai penerimaan hadiah atau habuan-habuan, menjalankan program pengurusan risiko integriti terhadap jabatan dan cawangan-cawangannya serta menambahbaik sistem fail yang sedia ada.

AmanahRaya setelah 85 tahun penubuhannya, telah menunjukkan  perkembangan yang amat pesat. Daripada sebuah syarikat yang ditubuhkan hanya untuk mengurus harta pusaka dan pentadbiran amanah, kini AmanahRaya telah dapat menebusi perkhidmatan pengurusan aset, hartanah dan pelaburan modal.

Kemajuan yang diperolehi oleh AmanahRaya pada hari ini seperti yang dinyatakan oleh pengerusinya adalah hasil usaha seluruh kakitangan yang bekerjasama untuk memperkasakan AmanahRaya agar menjadi syarikat yang berwibawa. Komitmen dan kerjasama kakitangan AmanahRaya juga jelas dapat dibuktikan apabila majlis pelancaran pada hari ini telah dihadiri oleh hampir 200 orang kakitangannya di Dewan Sri Mutiara, Wisma AmanahRaya.

 

Copyright (C) 2006 Amanah Raya Berhad