KONVENSYEN FARAID DAN HIBAH KEBANGSAAN 2008
(Anjuran Bersama Amanah Raya Berhad dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)
Kuala Lumpur, 7 Ogos 2008 – Amanah Raya Berhad (AmanahRaya), syarikat milik penuh kerajaan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini menganjurkan Konvensyen Faraid dan Hibah Kebangsaan 2008 bertempat di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur. Konvensyen yang dapat menyuntik kerjasama jangka panjang dua hala di antara AmanahRaya dan JAKIM telah dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan dihadiri oleh lebih 1000 orang peserta terdiri daripada para Hakim Syarie, Ketua-Ketua Jabatan Agensi Pusat dan Negeri, para Mufti dan badan-badan pengamal pewarisan serta badan pemegang amanah.
Konvensyen diadakan selaras dengan objektif AmanahRaya untuk ;
- Meningkatkan kefahaman dan penghayatan masyarakat mengenai tujuan pensyariatan ilmu faraid dalam Islam.
- Memberi pendedahan tentang alternatif pengurusan harta menerusi instrumen hibah.
- Memperkasakan perlaksanaan sistem pengurusan harta serta membangunkan ekonomi umat Islam.
Di antara resolusi yang ingin dicapai melalui konvensyen adalah mengenai penyeragaman sistem perundangan yang berkaitan dengan Perwarisan Harta Islam dan penyelesaian masalah yang timbul dari sistem perwarisan yang tidak selaras. AmanahRaya menyambut baik resolusi ini dan berharap ianya dapat dimanfaatkan oleh pelbagai pihak demi kepentingan masyarakat secara umum.
Dato’ Haji Dusuki Ahmad, Pengerusi AmanahRaya dalam ucapannya berkata, “Baru-baru ini, AmanahRaya telah menubuhkan Persatuan Perwarisan Harta Malaysia yang lebih dikenali dengan nama PERWARIS sebagai badan rujuk dan medium bebas yang bergerak aktif untuk membangunkan industri perwarisan. Ahli pengasasnya terdiri daripada ahli Persatuan Peguam Muslim Malaysia, ahli Persatuan Peguam Syarie, firma-firma guaman dan pengamal-pengamal perwarisan swasta. Tujuannya adalah bagi maksud penyeragaman, kelicinan dan keperkasaan sistem perwarisan Islam di negara kita. Dan PERWARIS ini juga merupakan forum kerjasama di kalangan pengamal perancangan harta dan kewangan Islam, terutamanya dalam perancangan dan pentadbiran harta dan pusaka orang Islam.”
Menurutnya lagi, AmanahRaya juga menjadikan instrumen wasiat sebagai teras perkhidmatan dan mengerakkan pelbagai aktiviti bagi meningkatkan kesedaran umum tentang kepentingan wasiat. Hasilnya, sejak tiga tahun kebelakangan ini, jumlah wasiat yang berdaftar dengan AmanahRaya telah menunjukkan peningkatan yang amat baik khususnya wasiat Islam.
Malahan bagi melicinkan lagi pentadbiran wasiat, sistem Daftar Wasiat Malaysia (DWM) telah ditubuhkan dan dilancarkan pada Julai 2007. Ianya berfungsi sebagai pusat rujukan bagi penyemakan dan penyimpanan wasiat oleh semua rakyat, samada Islam atau bukan Islam. Dengan demikian, masalah perwarisan dapat dikurangkan, pembahagian harta pusaka dapat dipercepatkan pengagihannya kepada waris-waris dan dapat disempurnakan mengikut hasrat si mati.
|