Press Release


MAJLIS PELANCARAN PROGRAM KHUSUS PELAJAR MALAYSIA KE UNIVERSITI AL-AZHAR MESIR DALAM BIDANG PENGAJIAN ISLAM

  • AmanahRaya lancar Biasiswa Ke Universiti Al-Azhar, Mesir
  • Memilih dan membiayai sepenuhnya 20 pelajar terbaik mengikuti program perintis Pra Al-Azhar & Pengajian Islam

Kuala Lumpur, 1 Ogos 2008 – Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) hari ini melancarkan Biasiswa AmanahRaya khusus dalam bidang Pengajian Islam di Universiti Al-Azhar, Kaherah Mesir kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang terbaik dan cemerlang dalam semua subjek terutamanya Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Bahasa Arab dan matapelajaran agama seperti Fiqh, Balaghah, Tauhid & Mantiq serta Hifz Al-Quran & Tajwid.

Biasiswa AmanahRaya Universiti Al-Azhar ditubuhkan dengan kerjasama TYT Datuk Zainal Abidin Ab Kadir, Duta Besar Malaysia ke Mesir dan disokong oleh Kementerian Pelajaran. Seramai 20 orang pelajar daripada hampir kesemua negeri di Malaysia terpilih untuk menerima biasiswa ini.
Majlis pelancaran Biasiswa AmanahRaya Universiti Al-Azhar telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Hj Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Hotel Hilton, Kuala Lumpur. AmanahRaya memperuntukan lebih daripada RM 1 juta (sejuta ringgit Malaysia) untuk membiayai 20 orang pelajar bagi mengikuti pengajian selama 5 tahun iaitu setahun bagi mengikuti pengajian Pra Al-Azhar, program khusus untuk meningkatkan kefahaman dan kemahiran  Bahasa Arab dan 4 tahun lagi pengajian di peringkat ijazah.

Program Pra Al-Azhar adalah yang pertama kalinya ditubuhkan di Malaysia dengan konsep hampir sama dengan program matrikulasi dan ASASI (program persediaan khas ke Jepun) bertujuan untuk meningkatkan prestasi pelajar-pelajar Universiti Al-Azhar yang selama ini dilaporkan kurang memuaskan disebabkan faktor lemah dalam Bahasa Arab.

Inisiatif AmanahRaya ini selaras dengan Misi Nasional dan RMK-9 di bawah teras pembangunan modal insan.  Malaysia sebagai sebuah model negara Islam yang berjaya perlu merancang dari sekarang untuk melahirkan modal insan yang kamil agar dapat bersaing dan menerajui pembinaan tamadun negara seiring dengan kecemerlangan tamadun Islam dan tamadun-tamadun lain melalui pendekatan Islam Hadhari. Ia juga dapat merealisasikan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hub kewangan Islam di rantau ASEAN dan dunia melalui pemerkasaan dan pengembangan ilmu pengajian Islam.  

Usaha ini juga diharapkan menjadi galakkan kepada syarikat-syarikat swasta yang lain untuk menawarkan program yang seumpamanya agar lebih ramai graduan Pengajian Islam terutama dalam bidang Syariah dapat dilahirkan sekaligus menyumbang kepada pembangunan dan kemakmuran negara.  

Sementara itu, Dato’ Haji Dusuki Ahmad, Pengerusi AmanahRaya berkata, ”AmanahRaya melihat penawaran Biasiswa AmanahRaya sebagai sebahagian Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat untuk memberi peluang kepada pengembangan dan pembangunan modal insan yang bukan sahaja bertaraf ulama tetapi juga bijaksana, cendikiawan dan pakar fikir strategik yang diiktiraf di peringkat antarabangsa”.
 
Sebagai sebuah syarikat milik penuh kerajaan, AmanahRaya bertanggungjawab untuk mendukung, membangun dan mengembangkan bidang Pengajian Islam ini khususnya bidang syariah selari dengan kemajuan Islam pada masa kini, menurutnya lagi.

Majlis pelancaran telah diadakan di Hotel Hilton Kuala Lumpur dan dihadiri oleh TYT Datuk Zainal Abidin Ab Kadir, Duta Besar Malaysia ke Republik Arab Mesir, wakil Kementerian Pelajaran, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), pemimpin-pemimpin agama persekutuan dan negeri serta para akademik. Turut hadir di majlis ini adalah Dato’ Ahmad Rodzi Pawanteh, Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya dan pihak pengurusan kanan AmanahRaya.

Selain Biasiswa Pengajian Islam di Universiti Al-Azhar, AmanahRaya juga menawarkan Biasiswa Pelajaran khusus kepada pelajar di kalangan anak yatim dan miskin bagi mengikuti pengajian dalam bidang perubatan dan pentadbiran perniagaan di dua kolej ternama di Malaysia iaitu SEGi College dan Allianze College of Medical Sciences (ACMS). Melalui Program Khidmat Komuniti dan Alam Sekitar, AmanahRaya juga aktif memberi sokongan dalam bentuk sumbangan peralatan sekolah, komputer, penajaan dan penganjuran bersama program dengan pihak-pihak berkaitan bagi membantu kerajaan untuk membangunkan bidang pendidikan di Malaysia. Program-program seumpama ini adalah sebahagian Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) AmanahRaya kepada pembangunan modal insan rakyat Malaysia.  

 

 

Copyright (C) 2008 Amanah Raya Berhad