AmanahRaya bantu hasrat ibu tunggal mendirikan Pusat Pengajian Al-Quran Nurul Huda menjadi kenyataan
Kota Bahru Kelantan, 9 Julai 2008 - Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) hari ini menghulurkan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada Pusat Pengajian Al-Quran Nurul Huda bagi merealisasikan hasrat murni pengasasnya, Puan Hasmah binti Awang untuk melihat pusat pengajian tersebut beroperasi. Sumbangan disalurkan dengan membeli peralatan perabot, kelengkapan pejabat dan papan tanda, dan telah diserahkan di Majlis Penyerahan/Perasmian Pusat Pengajian Nurul Huda anjuran stesyen televisyen Astro Oasis di Kampung Pak Badol Melor, Kota Bahru Kelantan.
Kecekalan Puan Hasmah binti Awang menubuhkan Pusat Pengajian Nurul Huda menjadi faktor Astro Oasis memilihnya sebagai sebagai salah seorang pemenang program Tetamu Jemputan Umrah. Beliau yang menghadapi masalah kesihatan, kematian suami dan anak serta kekurangan sumber kewangan mengharapkan sokongan dan keprihatinan masyarakat untuk meneruskan penubuhan pusat pengajian ini yang telah tertangguh sejak tahun 2002. Pusat Pengajian Nurul Huda yang ditubuhkan untuk melahirkan penghafal Al-Quran diharapkan dapat mendekatkan masyarakat dengan ilmu Al-Quran dan melahirkan remaja yang berilmu tinggi yang mampu memberi sumbangan untuk menegakkan syiar Islam.
Semalam (8 Julai 2008), kakitangan AmanahRaya dari Ibupejabat Kuala Lumpur dan Cawangan Kelantan turut serta di Majlis Gotong Royong bagi menyelesaikan kerja-kerja pembinaan pusat pengajian ini. Puan Azliah Suhod, Pengurus Kanan Jabatan Pembangunan Pasaran, AmanahRaya berkata “AmanahRaya melalui program Khidmat Komuniti & Alam Sekitar akan sentiasa memberi sokongan kepada usaha murni seperti ini yang dapat memberi sumbangan kepada pembangunan modal insan dan sahsiah masyarakat.”
Bagi AmanahRaya, aktiviti sumbangan amal kemasyarakatan dan penglibatan terus kakitangan dalam program seperti ini dapat membina satu jalinan kukuh di antara AmanahRaya dan masyarakat. |