Majlis Penyerahan Zakat Dan Sumbangan Amal Kemasyarakatan Amanah Raya Berhad Di Bachok, Kelantan
BACHOK KELANTAN, 30 September 2007 – AmanahRaya hari ini menyerahkan sumbangan zakat kepada golongan asnaf di daerah Bachok, Kelantan. Majlis ini telah dijayakan dengan kerjasama YB. Dato’ Dr Awang Adek bin Hussin, Timbalan Menteri Kewangan II merangkap Ahli Parlimen Bachok di Dewan Hj Hussain, Kg Perupok, Bachok Kelantan. Seramai lebih daripada 400 orang yang terdiri daripada warga emas dan anak-anak yatim menerima sumbangan zakat ini yang disampaikan oleh YB. Dato’ Dr. Awang Adek bin Hussin. Turut sama pada majlis ini ialah YBhg Encik Shamsuddin B. Haji Tahir, Ahli Lembaga Pengarah AmanahRaya yang hadir bagi mewakili YBhg Dato’ Ahmad Rodzi Pawanteh, Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya. Kelantan adalah lokasi ketiga AmanahRaya di dalam penyerahan terus zakat kepada masyarakat selepas negeri Perak dan Kedah. Selain daerah Bachok, daerah lain yang bakal menerima zakat dan sumbangan amal kemasyarakatan AmanahRaya di Kelantan adalah daerah Tumpat, Wakaf Baru, Kok Lanas serta program sumbangan oleh Istana Negeri Kelantan.
Di Kelantan sahaja, AmanahRaya telah memperuntukan sumbangan zakat bernilai lebih daripada RM250,000 dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan seperti kain pelikat, kain batik, baju, kain tudung, barangan kelengkapan sekolah dan beras kepada golongan asnaf dan penduduk-penduduk yang memerlukan bagi meringankan beban perbelanjaan di bulan Ramadhan dan menyambut kedatangan Adilfitri.
Sumbangan ini diharapkan dapat menerapkan semangat saling bantu-membantu seterusnya mewujudkan nilai-nilai murni dan amal sihat masyarakat penyayang. AmanahRaya sebagai salah sebuah syarikat milik penuh kerajaan akan terus menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan menerusi program Sumbangan Amal Kemasyarakatannya dan zakat.
Mengenai Amanah Raya Berhad
Amanah Raya Berhad (AmanahRaya), syarikat milik penuh kerajaan yang dahulunya dikenali sebagai Jabatan Pemegang Amanah dan Pegawai Pentadbir Pusaka Malaysia telah ditubuhkan pada 1921 dan diperbadankan pada 1995. AmanahRaya menyediakan perkhidmatan Pengurusan Perwarisan; Penyediaan, Penyimpanan dan Pelaksanaan Wasiat; Pentadbiran Harta Amanah; dan Perkhidmatan Peramanahan. Ia juga adalah Pemegang Amanah kepada 103 dana amanah saham yang bernilai melebihi RM95 bilion serta Pemegang Amanah bagi bon dan pelbagai instrumen kewangan dan pengurusan pelaburan. AmanahRaya menawarkan produk dan perkhidmatan yang mesra pelanggan dan mudah dihubungi melalui 19 cawangan yang terdapat di seluruh Malaysia. |