Press Release


Majlis Penyerahan Zakat Amanah Raya Berhad

PENDANG KEDAH, 24 September – AmanahRaya hari ini menyerahkan sumbangan zakat kepada golongan asnaf di daerah Pendang, Kedah. Majlis ini telah dijayakan dengan kerjasama UMNO Bahagian Pendang. Seramai 650 orang yang terdiri daripada ibu dan bapa tunggal, warga emas, keluarga kurang berkemampuan dan anak-anak yatim menerima sumbangan zakat ini yang disampaikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Ahmad Rodzi Pawanteh, Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya. Daerah Pendang merupakan lokasi ketiga AmanahRaya di dalam penyerahan terus zakat kepada masyarakat selepas daerah Bagan Datoh dan Padang Rengas di Perak.
Pada majlis ini, AmanahRaya telah menyalurkan sumbangan zakat bernilai lebih daripada RM100,000 dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan seperti kain pelikat, kain batik, baju, kain tudung, barangan kelengkapan sekolah dan barang keperluan seharian seperti beras, gula, tepung dan susu kepada penduduk-penduduk yang memerlukan bagi meringankan beban perbelanjaan di bulan Ramadhan dan menyambut kedatangan Adilfitri.
Sumbangan ini diharapkan dapat menerapkan semangat saling bantu-membantu seterusnya mewujudkan nilai-nilai murni dan amal sihat masyarakat penyayang. AmanahRaya sebagai salah sebuah syarikat milik penuh kerajaan akan terus menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan menerusi program Sumbangan Amal Kemasyarakatannya dan zakat.

Mengenai Amanah Raya Berhad
Amanah Raya Berhad (AmanahRaya), syarikat milik penuh kerajaan yang dahulunya dikenali sebagai Jabatan Pemegang Amanah dan Pegawai Pentadbir Pusaka Malaysia telah ditubuhkan pada 1921 dan diperbadankan pada 1995. AmanahRaya menyediakan perkhidmatan Pengurusan Perwarisan; Penyediaan, Penyimpanan dan Pelaksanaan Wasiat; Pentadbiran Harta Amanah; dan Perkhidmatan Peramanahan.  Ia juga adalah Pemegang Amanah kepada 103 dana amanah saham yang bernilai melebihi RM95 bilion serta Pemegang Amanah bagi bon dan pelbagai instrumen kewangan dan pengurusan pelaburan.  AmanahRaya menawarkan produk dan perkhidmatan yang mesra pelanggan dan mudah dihubungi melalui 19 cawangan yang terdapat di seluruh Malaysia.

Copyright (C) 2006 Amanah Raya Berhad