Press Release


Majlis Penyerahan Zakat Dan Sumbangan Amal Kemasyarakatan Amanah Raya Berhad Di Yayasan Darul Hanan, Tumpat Kelantan

TUMPAT KELANTAN, 1 Oktober 2007 – AmanahRaya hari ini menyerahkan zakat dan sumbangan amal kemasyarakatan kepada penghuni Pondok Tok Selehor, Yayasan Darul Hanan di Tumpat Kelantan. Majlis ini dijayakan melalui jemputan oleh YBhg Dato’ Haji Dusuki Ahmad, Pengerusi Yayasan merangkap Pengerusi AmanahRaya. Seramai 240 orang yang terdiri daripada  80 orang warga emas yang tidak berwaris dan 160 orang anak-anak yatim menerima zakat dan sumbangan ini yang disampaikan oleh YBhg Dato’ Ahmad Rodzi Pawanteh, Pengarah Urusan kumpulan AmanahRaya. Kelantan adalah lokasi ketiga AmanahRaya di dalam penyerahan terus zakat kepada masyarakat selepas negeri Perak dan Kedah. Semalam AmanahRaya telah menjayakan program penyerahan zakat seumpamanya di daerah Bachok dan antara daerah lain yang bakal menerima zakat dan sumbangan amal kemasyarakatan AmanahRaya di Kelantan adalah Wakaf Baru, Kok Lanas serta program sumbangan oleh Istana Negeri Kelantan. 
Di Kelantan sahaja, AmanahRaya telah memperuntukan sumbangan zakat bernilai lebih daripada RM250,000 dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan seperti kain pelikat, kain batik, baju, kain tudung, barangan kelengkapan sekolah dan beras kepada golongan asnaf dan penduduk-penduduk yang memerlukan bagi meringankan beban perbelanjaan di bulan Ramadhan dan menyambut kedatangan Adilfitri.
Sumbangan ini diharapkan dapat menerapkan semangat saling bantu-membantu seterusnya mewujudkan nilai-nilai murni dan amal sihat masyarakat penyayang. AmanahRaya sebagai salah sebuah syarikat milik penuh kerajaan akan terus menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan menerusi program Sumbangan Amal Kemasyarakatannya dan zakat.

Mengenai Amanah Raya Berhad
Amanah Raya Berhad (AmanahRaya), syarikat milik penuh kerajaan yang dahulunya dikenali sebagai Jabatan Pemegang Amanah dan Pegawai Pentadbir Pusaka Malaysia telah ditubuhkan pada 1921 dan diperbadankan pada 1995. AmanahRaya menyediakan perkhidmatan Pengurusan Perwarisan; Penyediaan, Penyimpanan dan Pelaksanaan Wasiat; Pentadbiran Harta Amanah; dan Perkhidmatan Peramanahan.  Ia juga adalah Pemegang Amanah kepada 103 dana amanah saham yang bernilai melebihi RM95 bilion serta Pemegang Amanah bagi bon dan pelbagai instrumen kewangan dan pengurusan pelaburan.  AmanahRaya menawarkan produk dan perkhidmatan yang mesra pelanggan dan mudah dihubungi melalui 19 cawangan yang terdapat di seluruh Malaysia.

Copyright (C) 2006 Amanah Raya Berhad